Wednesday, July 6, 2016

PERUTUSAN AMIR KAMPUS UIAM GOMBAK SEMPENA EIDUL FITRI : KOMPETEN & KONSISTEN MANIFESTASI TARBIAH RAMADHAN

PERUTUSAN AMIR KAMPUS UIAM GOMBAK SEMPENA EIDUL FITRI :
KOMPETEN & KONSISTEN MANIFESTASI TARBIAH RAMADHAN

Bismillahirrahimanirrahim

Assalamualaikum wbt
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah al-Hamd
Selawat dan salam keatas Rasul Junjungan S.A.W

1. Alhamdulillah, setinggi - tinggi KESYUKURAN kita rafakkan kepada Allah SWT kerana atas rahmatNya kita 'success' dan 'survive' dalam menempuh 30 hari bulan Tarbiyah Ramadhan.
Bulan Ramadhan sudah kita lalui sebagai 'tamrin'latihan dan juga ujian keimanan sebagaimana telah ditempuhi oleh umat - umat terdahulu. Sebagaimana disebut di dalam quran dalam surah Al Baqarah ayat 183, mafhumnya

"Wahai orang - orang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana umat - umat sebelum kamu agar kamu beroleh ketaqwaan".


RAMADHAN PENUHI TUNTUTAN KEIMANAN KITA?

2. Mari sama – sama kita imbas kembali definisi taqwa. Secara umumnya, taqwa ialah ketundukan dan ketaatan terhadap perintah Allah dan menjauhi segala  apa yang ditegahNya. Imam al-Ghazali menyimpulkan bahawa takwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat  kepada agama. Perbandingannya ialah berpantang bagi orang yang menghidapi penyakit.

3. Dalam konteks ini, taqwa ialah berpantang (mencegah diri) daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama.  jumhur ulama menyebut pengertian iman sebagai membenarkan dengan  hati, mengikrarkan dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan segala tuntutan sebagai 'orang beriman'.

4. Timbul persoalan apakah Ramadhan yang telah kita lalui selama sebulan ini benar- benar membuahkan keimanan? Atau sebenarnya jerit perit jihad kita hanyalah kerana terikat dengan trend , arus , mengikut sahaja orang kebanyakan beribadat tetapi gagal untuk mengecapi intipatinya. Mari sama - sama koreksi dan menghisab diri kita. Astaqfirullahalazim.

4. Abu A'la Al Maududi pernah menyebut dalam bukunya Syahadatul Haq bahawa 'Tuntutan Keimanan/Kebenaran' bukan sekadar mengimani kewujudan Allah,  malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan hari akhirat. Malah tanggungjawab syahadah ini juga tidak cukup setakat mendirikan sembahyang, puasa, zakat dan haji.

5. Syahadah ini hanya terlaksana apabila orang-orang yang beriman menyampaikan kalimah hak ke seluruh bangsa manusia dalam bentuk amal soleh, akhlak yang terpuji dan pemerintahan yang adil. Pemerintahan disini tidak tertakluk soal tampuk kerajaan dalam bahasa politiknya tapi soal kita memimpin diri sendiri hari ke hari sebagai khalifah Allah SWT dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Kita dibebankan dengan tanggungjawab keimanan iaitu di mana sahaja kita berada pada bila bila masa sebagai status penyebar kebenaran 'risalah Islam'.


MEMBAWA JIWA DALAM EIDUL FITRI

6. Kemudian, bagaimanakah pula Eidul FItri ini harus dirai? Ianya harus dirai dengan rasa penuh syukur dan keinsafan. Syukur kerana telah diberi peluang untuk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata tanpa disekutukan dengan sesiapa pun jua. Insaf kerana merasakan betapa lemah dan kerdilnya diri kita di hadapan Allah rentetan pengalaman pengabdian yang telah kita lalui sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Sudah tentu seseorang itu tidak dikira syukur dan insaf jika belum ‘Sayonara Jahiliyyah’ ; meninggalkan perbuatan maksiat pada Eidul Fitri dan hari-hari seterusnya.

7. Ruang dan masa Eidul Fitri haruslah kita ambil peluang untuk mengukuhkan silaturrahim sesama kita. Baik hubungan dengan ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai serta ahli keluarga besar jemaah kita Wadah-Abim-Pkpim (WAP) bagi di kampus mahupun di negeri masing – masing. Kita mesti bersedia untuk memaafkan, cukup berjiwa besar dan berlapang dada bagi memadamkan sebarang persengkataan lama dan perseteruan yang tidak menguntungkan dengan membina jaringan yang lebih utuh bagi kebaikan umum yang lebih mustahak.

8. Dalam abad teknologi ini, gadjet seolah – olah menguasai kita hingga menjadikan kita terlalu terikat dengannya. Hampir setiap masa ada sahaja mesej dan notifikasi media sosial yang masuk ke dalam telefon kita. Abaikan ia buat sementara dengan keluar dari kepompong anti-sosial ini dan banyakkan bergaul dan berdialog secara face-to-face (berdepan) tetamu yang hadir sewaktu raya. Ringankan tulang untuk membantu ibu bapa di rumah untuk menyediakan hidangan, melayan tetamu dan sebagainya.


KESEDIAAN DALAM AGENDA BERSAMA

9. Secara peribadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan dan ahli kampus atas penyertaan dalam bahtera perjuangan ini. Serta tidak dilupakan para senior, pensyarah dan kakitangan UIAM yang membantu memberi pencerahan dan sudi berdialog berkongsi pengalaman masing – masing.

10. Saya kira tidak terlambat untuk saya mengucapkan ‘tahniah dan takziah’ buat semua pimpinan baru PKPIM UIAM Gombak yang baru ditaklifkan pada bulan May yang lalu bagi sesi hadapan yang saya rangkumkan kalian dengan tema “PKPIMATE” yang bermaksud “PKPIM+MATE”, kawan – kawan se-gerakan kita.

11. Berada dalam jemaah ini bukanlah seperti berada di dalam organisasi atau persatuan biasa. Kita bukan sahaja diikat dengan gerak kerja, mesyuarat atau Key Perfomance Index (KPI) yang harus dicapai tetapi kita dihubungkan oleh ukhuwah Islamiyah dengan fikrah Hidup Biar Berjasa. Suasananya harus melangkaui soal jawatan dan portfolio tetapi sebagai sebuah keluarga. "Ohana means family, Family means no one left behind", teringat kata - kata teman se-usrah.

12. Ramai dari kalangan kita masih baru kenal apa itu usrah, tamrin dan muktamar. Kita masih lagi belum khatam buku – buku haraki, belum arif lagi sejarah perjuangan gerakan ini tetapi kesanggupan ‘belajar bersama’ adalah sesuatu yang harus dikagumi mengabsahkan budaya 7 PKPIM iaitu ‘Belajar, Mengajar dan Diajar’.

13. PKPIM UIAM Gombak sedang melakukan rombakan besar – besaran dari segi pergerakan dan struktur bagi memastikan organisasi kita menjadi lebih tersusun dan lebih produktif. Hal ini juga dapat memaksimumkan potensi ahli serta menerokai pengalaman dan peluang kepimpinan yang lebih luas. Dan salah satu agenda besar kita adalah untuk menjadikan PKPIM sebagai sebuah badan rasmi di UIAM Gombak.

14. Justeru, saya mohon fokus dan komitmen kalian bersama bagi menjayakan agenda yang bakal kita rancang nanti. Cuti yang berbaki, rancakkan perbincangan atas talian (online) dan media sosial, brainstorm idea – idea baru. Semak sejarah dan rekod lama sedia ada dan sebagainya. Meski ada rasa terpaksa ‘reluctant’ , perasaan itu harus kita kikis dengan mengikhlaskan segala kerja buat kita akan diberi ganjaran di akhirat ini.


Sahabat – sahabat sekalian,

KHATIMAH

14. Di atas kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada semua umat Islam khususnya kepada semua mahasiswa yang telah berjaya melaksanakan ibadah puasa dan menghayati bulan Ramadan kali ini dengan saksama.

15. Mahasiswa adalah anak  masyarakat, oleh itu perlu turun berbakti semula kepada ibu dan ayahnya iaitu masyarakat seterusnya menjadi simbol kepimpinan negara akan datang. Disebabkan itu, mahasiswa harus diasuh dengan nilai spiritualisme (taqwa) yang tinggi,idealisma yang jitu, intelektualisme yang berfokus serta aktivisme yang bersepadu kerana elemen – elemen ini adalah antara sebahagian dari tunjang penting penatijahan ‘Syahadatul Haq’ .

16. Moga - moga kita menjadi manusia yang lebih baik, soleh dan kompeten pasca-Ramadhan kali ini dan semoga kita turut diberikan peluang untuk ditarbiah sekali lagi dalam bulan Ramadan pada tahun akan datang supaya sisi spiritualisme pada diri kita (tarbiyah dzatiyah) akan sentiasa ditambahbaik daripada semasa ke semasa selari dengan tuntutan zaman dan cabaran dihadapi.

17- Sekian saja coretan kali ini. Kenanglah peristiwa – peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan ini untuk direnung ibrah;pengajarannya. Lontaran ini hanyalah sedikit pandangan yang saya rasa wajar kita teliti bersama.
18- Wallahu ta’ala a’lam. Salam perjuangan! Teruskan berjasa!

Sollu ‘ala Nabiy! Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

HIDUP BIAR BERJASA
MOHD NAJ’MUDDIN BIN ABDUL RAZAK
Amir Kampus
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
UIAM Gombak Sesi 2016/2017

06 Julai 2016/ 30 Ramadhan 1437H
#HidupBiarBerjasa #TerampilBerkemajuan #GenerasiBitara