Friday, September 4, 2015

APA KHABAR ABIM SELAMA?

Alhamdulillah, pagi tadi (4 September 2015) berkesempatan untuk menziarahi Taski Abim Selama, Perak. Hajat untuk berjumpa kembali dengan orang ABIM pekan ini sebenarnya sudah timbul sejak Ijtimak Haraki 2013 tetapi selalu saja ada perkara yang menghalang. 


Papan tanda Taski

Taski ini adalah tempat aku menerima pendidikan awal kanak – kanak pada tahun 2000 ketika berusia 6 tahun. Rasa ragu – ragu juga untuk datang ke sini takut – takut sudah tidak ada lagi guru yang kenal. Ya lah sudah 15 tahun. Aku jenguk – jenguk dari luar, tangkap gambar bangunan taski dan papan tandanya. Tepat jam 11.30 pagi, budak – budak dah keluar kelas menandakan waktu persekolahan telah tamat.

Kemudian, muncul seorang orang guru yang aku masih cam akan rupanya tetapi sudah terlupa nama. Cikgu itu pun perkenalkan diri dengan nama Fadzlin Zulkifli (fb beliau), panggil sahaja Cikgu Lin. Guru tersebut sudah mengajar di taski ABIM sejak 1991. Maknanya, memang betul lah aku sempat mendapat didikan dari beliau.

Aku cerita perihal penglibatan aku di UIA dalam gerakan PKPIM atau orang kampung lebih kenal dengan nama ABIM supaya tak kekok untuk bertanya tentang pengalaman Cikgu Lin dalam ABIM daerah ini. Cikgu memberitahu penglibatannya dengan ABIM adalah sejak 1984 lagi. Ketika itu, beliau belajar di SMK Dato Haji Hussien (SMKDHH) , sekolah di pekan ini dan bergiat aktif dalam KPIP (Kesatuan Pelajar Islam Perak) di bawah pengelolaan arwah Cikgu Manaf.

Pemandangan taski

Tamat pengajian menengah di SMKDHH, atas keterujaan dengan aktiviti dakwah ABIM, Cikgu Lin terus menyambung pelajaran di Insitut Pengajian Islam (IPI) dalam jurusan Diploma Pendidikan. Usai habis pengajian di kolej dibawah ABIM tersebut beliau terus bekerja dan istiqamah dengan pekerjaan guru di Taski ABIM Selama sampai sekarang. Walaupun mendapat pelbagai tawaran pekerjaan lain, beliau menolak untuk kekal mendidik kanak – kanak Islam. Sambil membentuk akhlak budak – budak, terasa seperti tarbiyah itu dapat pada diri sendiri. Andai ada peluang untuk sambung belajar semula pun, semahunya di bawah Kolej Dar Al Hikmah, katanya.


Beliau sempat menyorot sejarah penubuhan taski ABIM sebagai pusat pendidikan islam kanak – kanak terawal di daerah ini iaitu pada tahun 1984. Cikgu cakap  pengasas taski ABIM masih ada di daerah ini lagi iaitu Cikgu Azizah. Sekarang, beliau bekerja tender kantin di Sk Sri Selama, Mula – mulanya, dibuka di Taman Kaya, rumah Ustaz Abdul Halim. Kemudian, berpindah ke bangunan Dewan Selama. Beberapa tahun selepas itu, bangunan ini (yang terletak di Masjid KarimTaski )menjadi lokasi taski. Apabila kemasukan murid dan pelajar bertambah ketika itu, taski diubah tempatnya di bangunan tingkat Sekolah Agama Rakyat (SAR) Darunnajah, dalam kawasan Masjid Ar Rasyidiah atau Masjid Daerah Selama. Setelah SAR tidak mahu berkongsi tempat dengan taski, akhirnya ia dipindahkan kembali sini (Masjid Karim).

Kelas aku suatu ketika dulu

Taski ini turut menerima kesan dari Reformasi 1998, apabila pihak polis kadang – kadang datang ke sini untuk memerhatikan taski ini sama ada terdapat pengaruh politik atau perjuangan DSAI yang disebarkan. Walau bagaimanapun, polis – polis ini kenal rapat dengan Cikgu Lin malahan menghantar anak mereka belajar di sini, mereka percaya unsur – unsur tersebut tidak ada. Pemerhatian yang dijalankan hanyalah sebagai mengikut syarat dan arahan orang atasan sahaja.

Taski dah tak ramai macam dulu, dilimitkan kepada 50 orang sahaja. Zaman aku dulu ada 100 orang murid. Itu yang sampai bina satu lagi bangunan baru untuk kelas. Lama kelamaan, apabila 3 pra-sekolah dibuka pelajar makin kurang, kerana disitu yuran percuma.

Dulu, bangunan taski ini turut dijadikan sekolah agama petang aliran tahfiz. Sambutan masa itu agak menggalakkan. Ustaz Sufyan dan Cikgu Lin sendiri yang menguruskannya. Apabila Ustaz Sufyan berpindah diganti pula dengan ustaz lain. Dengan kepenatan menguruskan taski di sebelah pagi dan menguruskan keluarga dan anak – anak serta keuzuran ustaz ganti tersebut, sekolah tahfiz terpaksa ditutup. Guru ganti sukar untuk didapatkan atas faktor gaji yang kecil dan bukan pula mudah untuk mencari guru yang betul – betul berkelayakan. Tangkap muat sahaja tidak boleh, peribadi seseorang akan dinilai terlebih dahulu.

Anak anak taski baru habis kelas

ABIM di daerah ini sebenarnya sudah lama senyap. Usrah sudah lama tidak berjalan setelah jawatan exco – exco ABIM Selama tidak terisi. Kekurangan tenaga muda untuk menggerakkan program serta dana yang tidak banyak menyebabkan ia sepi begitu sahaja. Tambahan hanya Cikgu Lin sahaja orang ABIM yang masih berada di taski, guru – guru lain masih baru dan tidak mempunyai latarbelakang ABIM. Kalau muktamar peringkat Perak diadakan, ABIM Selama tak dapat nak hantar laporan kerana memang tiada apa - apa aktiviti.

Aku sempat pula bertanya apakah boleh untuk mengajar sementara semasa cuti semester akan datang di Taski ABIM ini. Beliau mengalu – alukan perkara tersebut tapi memberitahu siap – siap gaji bekerja di sini tidak banyak. Hanya bergantung kepada kutipan yuran murid – murid sahaja. Aku turut mengutarakan bagaimana pula sekiranya mahu membuat program motivasi dengan budak – budak, dengan mencadangkan seorang bekas aktivis PKPIM, Abang Hanis Zakaria yang mahir dalam bidang kefasilitatoran. Beliau kini tinggal di Manjung dan sedang mengusahakan modul fasilitator yang baru dihasilkannya. Abang Hanis mencari tempat untuk beliau mencuba modul baru tersebut.

Pejabat Guru

 Cikgu Lin teringin benar andai dapat dikumpulkan semula alumni – alumni taski ini dalam satu reunion. Dapat lah beliau kenal anak didik beliau yang telah berjaya. Seterusnya, mungkin dapat menyumbang bakti semula dan menggerakkan program taski ini.
  
Kalau sesiapa yang masih kenal Cikgu Lin, roger - roger lah ya :)

Konklusinya, kerja dakwah kita masih banyak.dan jalan ini SUMPAH PANJANG! Doakan semoga gerakan ABIM dapat kembali subur di daerah Selama ini.

“Walau di mana pun kita berada, kita mengungkapakan slogan yang sama iaitu Hidup Biar Berjasa!”

Mahasiswa UIA Jangan Boikot PRK

Isu terbaru di UIAM, MPP telah ditamatkan jawatan walaupun usia kepimpinan mereka belum pun cukup setahun. Hal ini dikatakan bersebab daripada pergantungan jawatan kepala mereka sendiri, iaitu Saudara Hanif Mahpa. 

Yang lawaknya, MPP ditamatkan jawatan tanpa melalui Mesyuarat Agung Tahunan yang di dalamnya kita sedia ada maklum ada ruang untuk muhasabah, dibentangkan segala laporan program tahunan dan laporan kewangan keseluruhan buat tahun tersebut.


Persoalannya, kalau begini sikap pentadbiran universiti, apakah masih relevan Pilihanraya Kampus? Natijahnya selalu berakhir sama, mahasiswa tetap kena mengikut telunjuk admin, diperlakukan seperti budak - budak sekolah.
Jika jawapannya tidak, apakah kita harus MEMBOIKOT PRK kali ini? Sejarah mencatatkan bahawa WUFI-PKPIM pada 10 tahun yang lalu pernah memboikot PRK secara total disebabkan tidak berpuas hati dengan pengenalan peraturan - peraturan baru yang menyusahkan semasa PRK dan taktik taktik kotor pihak pentadbiran yang terbongkar. Hanya, JIM (IKRAM sekarang) dan REVO (Pro-Aspirasi) yang berpartisipasi. 

Penguasaan REVO dalam MPP ketika itu menampakkan kegagalan mereka dalam menampilkan kepimpinan Islam dan sahsiah yang baik. Buktinya, penganjuran CONVEST 06 https://www.youtube.com/watch?v=DPfDfMx8NQg yang berada di bawah pengelolaan mereka tidak mengikut lunas - lunas Islam, hiburan melampau seterusnya mencalarkan nama 'suci' UIAM sendiri. Kita sepatutnya sudah serik akan hal itu. Admin pasti akan mengatur pertemuan sulit hotel, kem tertutup bagi menyusun calon pilihan mereka.


PESTA CONVEST 06 DI BAWAH MPP ASPIRASI UIAM

Jika YA jawapannya,mungkin solusi terbaik adalah mengadakan pakatan mahasiswa secara besar - besaran. Sejarah 15 tahun lalu pula menceritakan, WUFI dan ROW ( proksi PKPIM, walaupun sebelum itu agak pro-universiti) bersatu dalam SAF (Student Aspiration Front) pasca reformasi untuk melawan pentadbiran univerisiti yang semakin pro-Barisan Nasional akibat sokongan siswa terhadap mereka beralih arah atas simpati dengan tragedi pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu, calon pro-univerisiti kalah total semua kerusi. Cuma dalam konteks sekarang, kita mahu semua kelompok mahasiswa dihentikan pembodohan keseluruhannya termasuk mahasiswa pro-UMNO atau GPMS. Apatah lagi, gelombang anti-Najib yang merebak, mereka sepatutnya sudah lebih berfikir. 

Maka, jalan terbaik yang saya fikir kita sama - sama susun barisan untuk hadapi PRK dengan kesepakatan bersama WUFI-PKPIM-PEMBINA-ASPIRASI-IKRAM agar pentadbiran tahu, mereka sedang berhadapan dengan pelajar UIAM bukan mahasiswa pembangkang sahaja!