Saturday, June 20, 2015

UsrahFobia!




"Dari segi bahasa, perkataan usrah (bahasa Arab) bermaksud keluarga. Kamus Dewan Edisi Ketiga menyatakan, usrah ialah perkumpulan yang melibatkan kegiatan agama seperti perbincangan tentang sesuatu tajuk agama dan sebagainya.
Dari segi istilah, usrah ialah kelompok manusia yang beriman dengan Islam dan berusaha tolong-menolong sesama sendiri untuk memahami dan menghayati Islam; berusaha mempertingkatkan ilmu dan amal, dan menghindari maksiat dan permusuhan berdasarkan firman Allah (maksudnya): Bertolong-tolonganlah kamu berbuat kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras seksanya. (Al-Maidah, 5:2)"





KENAPA FOBIA??


                       1. Pengalaman lepas 

         Rata – rata kita pernah mengikuti usrah di sekolah yang sesetengahnya agak bosan. Kita terimbau dengan silibus usrah yang statik dan naqib yang mengendalikannya tidak pandai mengambil hati anak – anak usrah terhadap perbincangan sesuatu tajuk. Selain itu, sikap beberapa naqib yang bermuka – muka yakni tidak mengamalkan apa yang dikatakannya seolah – olah memberi kita gambaran akan kegagalan institusi usrah dalam mendidik manusia. Ada pula yang pernah kecewa kerana ditinggalkan terkapai – kapai oleh murabbi usrahnya sedangkan diri sedang mencari – cari Tuhan.

                         2. Egois
        Perasaan ini timbul kerana kita berasa sudah cukup dengan ilmu yang kita ada. Jadi, kita melihat usrah sebagai sesuatu yang langsung tidak mampu memberi ‘added value’ (nilai tambah) terhadap diri kita. Sikap berasa bagus dan meninggi diri dengan ilmu sedia ada tidak sepatutnya dimiliki oleh kita kerana setiap manusia pasti mempunyai kekurangan walau sehebat mana pun. Perwatakan merasakan diri terlalu bersih dan suci boleh menyebabkan diri kita terjerumus dengan penyakit hati serta menjauhkan orang biasa daripada jalan kebaikan.

                        3. Malu
     Sikap malu selalunya wujud pada diri mereka yang mempunyai sifat ‘introvert’ yang tinggi. Mereka takut untuk bergaul dengan orang – orang baru dalam kehidupan mereka. Selain itu, golongan yang tidak mempunyai latar belakang sekolah agama atau tidak pernah kenal akan usrah kadang – kadang malu untuk sertai usrah kerana risau diejek dengan penampilan yang tidak islamik (contoh : tudung pendek) dan kelemahan penghayatan Islam di dalam diri mereka.


                Mencipta Persaudaraan

     Dalam usrah adalah untuk mencipta kawan, tak perlu diwajidkan dengan berbahasa  ‘ana-enta’, jangan berlakon atau tak berpura – pura ber’ukhuwah Islamiyah’ di dalam usrah  tetapi diluar tidak bertanya khabar hatta menyapa antara satu sama lain. Ungkapan yang  selalu kita dengar,“Usrah bermula dengan tasbih kafarah dan berakhir dengan Al Fatihah”. Persaudaraan dalam usrah itu tidak sekadar statik semasa majlis sahaja tetapi di luar waktu tersebut. Pelbagai perkara boleh dilakukan bagi ‘memaniskan’lagi usrah tersebut seperti  saling bertegur sapa, berkelah, ziarah menziarahi dan lain – lain. Di samping itu, sifat malu yang menebal di dalam diri menyukarkan bibit - bibit perkenalan. Sikap malu mengenal lebih mendalam akan naqib/anak usrah, rakan usrah, malu untuk berkongsi idea dan pandangan ketika sesi perbincangan kerana takut salah, malu untuk mempromosi usrah kepada kawan – kawan lain atas kekurangan diri dan lain – lain adalah contoh – contoh malu yang tidak bertempat.

Mandi sungai bersama


          Di dalam usrah perlu diwujudkan dan dihayati suasana seperti adik – beradik dengan buang sifat berkira dan  berkasih sayang. Contohnya, bila berprogram apabila berlaku kesalahan atau perkara yang tak diingini, kita tidak menunding jari salah pada orang lain. Sebaliknya berusaha untuk muhasabah dan memperbaiki kesilapan sama – sama.


       Membina Manusia Berjiwa Besar



      Jadilah seperti orang yang apabila datang masalah besar kepadanya, lalu masalah itu menjadi kecil, bukan orang yang apabila datang masalah kecil kepadanya lalu, membesarkan masalah tersebut. Walau serumit mana, orang yang besar dalamannya akan sentiasa bersikap cool dan relaks.

      Mereka tidak mudah menghukum atau membuat kesimpulan akan sesuatu.   Jika kita inginkan umat kita ‘besar’, kita dahulu perlu menjadi ‘besar. Orang yang berjiwa besar sentiasa punya niat yang murni lalu melihat setiap perkara dari sudut – sudut yang positif. Analogi sekeping kertas kajang yang besar yang diletakkan titik hitam ditengah-tengahnya. Berfikiran positif ialah dengan tidak hanya memandang pada titik hitam yang kecil itu sahaja tetapi warna putih kertas yang berganda – ganda lebih besar.


                 Kemenjadian Sesuatu Usrah

                Sdr Fazril Saleh, Presiden PKPIM menyenaraikan 5 Aspek Penanda Aras keberhasilan                         sesuatu kumpulan Usrah iaitu dengan terbangunnya:

                        1. Potensi

       Bakat dan kelebihan diri setiap ahli usrah dapat dicungkil, diasah dan dimanfaatkan untuk Islam. Contohnya, usrah melatih diri seseorang untuk bercakap dan berfikir dengan kritis semasa memberikan pendapat akan sesuatu isu yang dibincangkan. Lama – kelamaan, mad’u tidak lagi berasa kekok untuk bercakap di hadapan dengan huraian yang lebih mendalam bukan sekadar cakap kosong tetapi mempunyai hikmah dan tersirat nilai – nilai Islam.



                       2. Chenta



         Membangun rasa cinta terhadap usrah dan Islam. Ahli usrah disedarkan tentang tujuan penciptaan kita di muka bumi ini (2:30), bukan sekadar bersuka – suka tetapi sebagai hamba, khalifah dan daie. Mengetahui akan hakikat kehidupan dan reality umat yang tenat, telah meletakkan diri mad’u untuk  merubah diri kearah kebaikan, ‘sayonara’ jahiliyyah lantas menyahut seruan sebenar syahadah (Syahadatul Haq) untuk mendaulatkan Islam serta menyebarkan cinta dan menyebarkan rahmat ke sekian alam (Islam rahmatan lil alamin).



  
                        3. Intelektualisme

        Usrah bukan hanya sebagai tempat menuntut ilmu semata – mata. Jika kita berfikiran sebegini, amat sedikit sekali ruang untuk kita perbaiki. Tetapi usrah adalah tempat untuk disuburkan rasa cinta terhadap ilmu, ditanam dengan kefahaman fikrah Islam. Pemikiran yang terbentuk dari usrah akan memandu dan melorongkan jalan kepada ahli – ahli untuk mencari ilmu yang lebih meluas diluar sama ada menuntut ilmu dengan guru – guru mursyid, membaca buku, wacana, debat dan lain – lain. Tidak semua perkara perkara akan diajar atau dibentangkan dalam usrah seperti perkara asas fardhu ain’ ataupun aqidah Islamiyyah. Mungkin sesetengah perkara tersebut akan dibentangkan dalam daurah (seminar) secara bertahap oleh mana – mana organisasi Islam.


                        4. Kerohanian
      
      Usrah mengambil sistem tarbiyah dari tarekat-sufi agar dalaman ahli – ahli usrah suci hatinya, baik akhlaknya serta dapat meninggalkan karat – karat jahiliyyah yang membelenggu diri meskipun sosok luarannya haraki, teguh dan tsabat. Buktinya, perjuangan harakah Islamiyah, Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh As – syahid Imam Hasan Al Banna memasukkan pengaruh ‘tarbiyah sufiyyah’ sebagai tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) kepada ahli – ahli Ikhwan seperti himpunan zikir Al – Mathurat dan disiplin – disiplin ibadah yang ketat.

10 Sifat Orang Yang Ditarbiah 

      Di dalam usrah, naqib tidak cukup dengan sekadar membentangkan apa sahaja yang ada di dalam silibus. Para murabbi perlu juga untuk menyentuh hati mad’u dengan kata – kata nasihat, ayat quran, dan keindahan ajakan untuk beriman kepada Allah SWT. Mutabaah Amal iaitu satu jadual disiplin ibadah mesti sentiasa ditekankan oleh naqib secara bijaksana tanpa membuka aib atau memberi rasa malu kepada mad’u. Dah berapa kali antum baca quran harini? Dah berapa kali beristighfar hari ini? Siapa harini tidak tinggalkan solat berjemaah? Sepanjang minggu ini siapa yang mampu istiqamah qiamullail? Siapa harini dah tinggalkan merokok? Mutabaah amal perlu sentiasa ditingkankan disiplinnya. Mula – mula ditekankan untuk solat berjemaah sehari sekali sekurang – kurangnya, beransur – ansur solat berjemaah 5 kali sehari diwajidkan. Hati manusia diakhir zaman mudah larut dengan dunia. Oleh itu, ia perlu selalu dimuhasabah dan diperingatkan.


                        5. Aktivisme

        Menurut Sdr. Saifullah Zulkifli, mantan Naib Presiden Antarabangsa PKPIM,
Aktivisme merujuk kepada keupayaan merealisasikan idealisme melalui tindakan-tindakan yang praktikal. Ia merupakan satu proses yang bersandarkan kepada kebijaksanaan mengolah idea-idea yang bernas dan kewibawaan menterjemah idealisme tersebut dalam aturan hidup secara kemas. Contohnya Di dalam usrah dibentang tentang kefahaman Islam sebagai agama rahmat sekalian alam bukan sekadar ritual semata – mata, berbakti pada umat, menolong orang susah dan golongan mustadafin (tertindas) maka antara aktiviti yang boleh memugar aspek ini pada ahli adalah seperti turun ke jalanan, ceruk – ceruk kota memberi makan kepada ‘homeless’. Namun, harus diingat aktivisme bukan sekadar program tetapi apa yang ditonjolkan dari kefahaman intelektual yang akan menanamkan hikmah(pelajaran) dalam diri agar seseorang individu itu tidak berlakon hanya ketika punya posisi, kawan – kawan bahkan boleh bergerak (aktivis) berseorangan. Nampak sampah tepi jalan kutip, Nampak orang susah terus ditolong dan sebagainya.


       Khatimah


       Akhir sekali, buat rakan - rakan di luar sana yang baru kenal dengan usrah, semoga diberi kelapangan hati untuk menyertainya dan seterusnya istiqamah dalam jalan kebaikan. Tidak kiralah usrah di bawah persatuan apa sekalipun yang anda sertai asalkan ada kebaikan di dapat diambil. Meskipun demikian, saya tidak menafikan apa - apa sahaja wasilah atau jalan lain yang boleh mendekatkan seseorang kepada Islam seperti Talaqqi, Ceramah umum dan lain - lain.
         
            Kenanglah firman Allah SWT dalam Al - Quran,
          
            “Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlomba-lombalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (QS. Al Baqarah:148).
          
         Hashtag :#FastabiqulKhairat !



Kenangan BBQ sebagai usrah penutup tahun 1 bersama Akhi Ammar Ruslan di UIA PJ 2013, 

Usrah Umum Akhi Fazril Saleh di UIA PJ 2014

Usrah bersama Akh Azkar Zahidi UIA Gombak 2015, setiap kali usrah mesti ada makanan, naqib belanja pulak tuu! wuu :D. Waktu ni mereka sanggup naik basikal dan berjalan kaki naik atas bukit Salahuddin sekitar 1km untuk berusrah. Osem kan?